Wednesday, May 20, 2009

Cinta dengan cinta

Cantik, lawa, comel, segak dan apa lain perkataan yang boleh dinilai oleh mata hati dan penglihatan tentang seluruh makhluk di mayapada ini. Dunia dan seisinya sering menjadi pujaan manusia sejak azali lagi. Entah bila bermula perkataan cinta masih tidak terungkap oleh sanubari, yang hanya pandai diucap oleh lidah namun jauh dilubuk jiwa belum tentu sahihnya cinta.

Cinta ibarat anugerah yang tidak ternilai kepada manusia. Hakikat sebenar cinta bukan boleh sewenangnya diumpamakan dengan benda yang tampak pada kacamata tetapi makrifat cinta hanya Allah yang mengetahui dalam ilmuNya yang qadim.

Allah Yang Maha Pencinta menurunkan kalimat cinta yang teragong "la ilaha illa llahu" menafikan cinta makhluk namun peri kecintaan kepada makhluk ciptaanNya dihiasi cinta makhluk dengan CintaNya. Dalam kalimah agong ini, terdetik dalam setiap jiwa betapa cintaNya Allah menzahirkan kecintaanNya dengan keindahan kejadian manusia. Kerana CintaNya dilitupi wajah kita dengan pancaindera penglihatan, pendengaran dan perkataan.

Demi CintaNya dihalusi akal dengan fikiran, disempurnakan anggota dengan kecergasan, diatur organ dalaman dengan pelbagai sistem dan disediakan alam dengan haiwan dan tumbuhan. Maka ke mana cinta kita harus dipersembahkan? Tanpa CintaNya tiada ibu yang sanggup menanggung derita kandungan sembilan bulan, tiada ayah mampu memberi kasih sayang, tiada guru akan berkorban dan tiada rakan ingin bertaulan.

CintaNya mendahului cinta kita. Kenallah jika kita petah berucap bukankah itu CintaNya. Sekiranya kita boleh mendengar bukankah kerana CintaNya. Andai kita dapat melihat bukankah qudus CintaNya. Ya sememangnya anugerah itu dan anugerah ini milikNya Yang Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana.

Balaslah CintaNya yang maha luas ketidakterhinggaan hitungannya walaupun dengan sekelumit senyuman sabar atas segala qadha' dan qadarNya.

Semailah CintaNya yang maha tulus ketidakterhinggaan sucinya meskipun dengan sepatah kalimat "Allah" terucap hanya sekali sepanjang hayat kita.

Bajailah CintaNya yang maha sempurna ketidakterhinggaan bandingannya kendatipun dengan sedetik qiam tafakkur mengakui kekerdilan kita sebagai seorang hamba yang amat daif lagi naif.

Meski setinggi gunung ilmu kita tidak tertakrif maksud CintaNya.

Andai seluas lautan sedekah kita tidak terbalas CintaNya.

Meski seribu rakaat sehari solat kita tidak terhitung CintaNya.

Tidak akan mampu sebenarnya kita membandingkan CintaNya dengan cinta kita. Tiada perumpamaan CintaNya dan tiada perbandingan CintaNya. Kekal hanya CintaNya. Wujud CintaNya. CintaNya qadim. Wahdaniah CintaNya.

CintaiNya semampu kita hingga akhir nafas kurniaanNya.

No comments: