Demi masa yang Allah telah bersumpah dengan tegas bahawa manusia sesungguhnya dalam kerugian. Rugi dalam erti kata sebenar kosong tanpa ada sesuatu. Rugi manusia seandainya tempoh waktu yang diperuntukkan kepada setiap individu terbazir tanpa aktiviti yang berfaedah samada di matanya atau mata orang lain.
Demi masa yang hanya Allah sahaja berilmu tanpa sebarang sekutu sehingga benarlah firman Allah dalam hadis qudsi melalui junjungan mulia Rasulullah Sallallahualaihiwassallam "Akulah Zaman" . Maka sewajarlah manusia terutamanya kita yang Islam ini sedar hakikat masa yang tidak dapat tidak kita terus mensia-siakannya tanpa kita menghitung detik yang saban saat nafas anugerah Allah dihirup oleh organ ciptaan Dia Yang Maha Pelaksana dan Maha Bijaksana.
Demi masa yang Allah telah berfirman menciptakan dunia dalam 6 masa seperti marfhum Kitab Al-Quran. Manusia tidak akan dapat menghargai masa meskipun dia bekerja siang dan malam atau bertafakkur setiap saat kecuali bagi mereka yang beriman dan beramal salih dan berpesan - pesan dengan kebenaran dan dengan kesabaran.
Masa yang disediakan oleh Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang untuk semua manusia akan menjadi fatamorgana sekiranya manusia tidak beriman. Namun seandainya beriman tidak melaksanakan tuntutan suruhan dan larangan dianggap alpa. Meskipun sudah beriman dan istiqamah beramal tidak cukup untuk melengkapi keperluan masa tanpa menyampaikan kebenaran hakikat suruhan dan larangan. "Tabligh" salah satu daripada sifat wajib bagi Rasul menyampaikan yang hak menjadi tuntutan bagi setiap umatnya. Oleh yang demikian empat perkara di atas yang difirmankan oleh Allah dalam hanya satu Surah Al-Ashr wajib menjadi intipati kehidupan manusia di dunia ini.
Manusia masih lagi rugi jika tidak melaksanakan keempat-empat tuntutan Allah dalam setiap ketika terutamanya kesabaran. Sabar dalam beriman. Sabar dalam beramal. Sabar dalam menyampai kebenaran.
Masa merupakan cahaya kehidupan manusia. Memenuhi masa dengan empat perkara di atas bermaksud kehidupan manusia dilitupi cahaya. Sumber cahaya sebenar hanya Allah bagiNya Cahaya atas cahaya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment