Wednesday, July 31, 2013
Masa Itu Emas
demi masa
itulah sumpahNYA
namun
manusia acapkali alpa sering lupa
leka segala dibuai mimpi tika jaga
diulit cinta nafsu duniawi
sungguh benar masa
tiada ternilai
meskipun seumpama emas pepatahnya
malah mengangkasa harganya
tidak terbayar dunia seisi
sesaat berlalu seribu batu jaraknya
tidak terkejar walau hanya sedetik
dengan jet tercanggih teknologi kini?
tiada ganti biar seminit
dengan intan berlian seluas Sahara?
maka rebutlah penuhilah
tuntutan masa dengan keimanan
serta istiqamah amal salih
menyeru kepada yang hak
berpaksikan kesabaran dan ketatasusilaan
Bagai Aur Dengan Tebing
menyusur kehidupan lumrah alam
muafakat saling bergantungan asas kemasyarakatan
tanpa kaki tangan tidak kesampaian
mengikat mata dengan pandangan
menyimpul bunyi berserta pendengaran
manusia punyai ikatan
antara sesama mahupun seangkatan
perlu memerlukan harapan dan impian
bagai aur dengan tebing
tidak terpisahkan meskipun terkorban
memang hakikat kejadian
diciptakan Hawa untuk Sang Adam
diwarnai bumi flora dan fauna
dihiasi langit bintang Kejora
mentari bersinar bulan bercahaya
silih berganti menceriakan semesta
persis aur dengan tebing
tanpa keluhan tanpa bantahan
akur mengikut bicara patuh menurut kata YANG MAHA ESA
manusia punyai pautan
syariat terlaksana aqidah dibina
jiwa naluri seia seirama
akal budi berlagu senada
umpama aur dengan tebing
tidak goyah meskipun bencana melanda
bagai aur dengan tebing
bagai aur dengan tebing
bagai aur dengan tebing………
Jika kail panjang sejengkal lautan dalam jangan diduga
perumpamaan indah Melayu lama
sinis bicara menusuk diri
ada makna disebalik kata
penuh motivasi isi dan inspirasi
kail panjang sejengkal
ibarat ceteknya ilmu di dada
tumpulnya akal budi
umpama si anak kecil bertatih sendiri
jatuh bangun merangkak meratapi
laut nan dalam
bagaikan liku kehidupan penuh cabaran
luas terbentang sekeliling alam
sukar diharungi tanpa kesiapsiagaan
perlu akan kesabaran yang berkesinambungan
orang Melayu sinonim dengan kiasan
pencetus semangat pembina cita-cita
renunglah sejarah Panglima Awang meneroka lautan
ingatkah kepada Nakhoda Taib?
ramai lagi nama nama besar
gah seantero semesta memertabatkan bangsa
apakah kita lupa?
hidup Melayu ada susila indah bahasa murni jiwa
dalam santun punyai ketegasan
marah terselit kasih tersimpul sayang
tunduk namun menggapai awan
senyum hakikatnya tidak semudah digoyahkan
persis irama silat lembut tetapi buahnya menyakitkan
Sebab Nila Setitik Rosak Susu Sebelanga
anugerah kehidupan bagaikan mutiara tidak ternilai
berliku beronak ranjau sepanjang perjalanan
jalan nan lurus berbekal sekeping hati tulus mulus
merupakan puncak segala tujuan
namun
bukannya semudah jangkaan dan igauan
harus punyai ketabahan kecekalan dan kewibawaan
tanpa rasa kecewa gundah juga putus asa
pepatah nila setitik rosak susu sebelanga
merupakan payung mahkota jiwa
adalah pemangkin melawan seteru semesta
mungkin kita alpa asal usul moyang manusia
Adam dan Hawa dilanda nista bujuk rayuan sang durjana si Iblis tua
Syurga kenikmatan direnggut serta merta melara duka di dunia nan fana
bukan kerana dosa besar menggunung
hakikat hanya sebuah pohon
hinggakan Adam tidak henti memohon ampun puluhan tahun
fikirkanlah insan
sengketa nafsu dan akal bermaharaja lela
hanya ilmu amal taqwa penawar berharga
nila setitik rosak susu sebelanga
mendidik agar sentiasa berwaspada akan bisikan tipudaya
yang sering menerjah di cuping telinga
tersilap langkah binasa segala
harapan punah mendorong ke neraka
kalam berakhir tanpa kata kata
maka sedarlah setiap perjuangan perlu kesinambungan
berterusan menadah berdoa kepada YANG KUASA
semoga sesaat tiada lupa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment