Manusia dikurniakan Allah Azzawajalla dengan akal fikiran yang menerusinya dapat mengawal hati dan perasaan dalam meniti kehidupan dunia yang serba pancaroba demi keabadian di akhirat nanti.
Namun akal kurniaan Illahi ini tidak mungkin menjadi pengawal terbaik tanpa ilmu. Di sebalik akal yang sempurna tidak dapat tidak manusia tidak lepas daripada hasutan juga godaan nafsu dan syaitan yang sentiasa mengajak manusia ke arah maksiat dan kekufuran.
Apakah yang dikatakan manusia berakal dan bagaimana pula manusia tiada akal?
Jawapan kepada persoalan di atas hanya dapat ditentukan dengan ilmu yang manusia itu sendiri dalami dan beramal secara istiqamah melaksanakan tuntutan ilmu di sepanjang waktu dan ketika. Manusia mudah lupa dan lalai dengan tipudaya dunia dan segala isinya. Seluruh alam ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah dihiasi dengan keindahan serta warna warni makhluk ditambah nilai oleh syaitan agar manusia terpesona dan terkesima dengan pandangan dan kepelbagaian rentak tari songsang menarik manusia jauh dari mengesakan Allah.
Ada 14 perkara bagi manusia berakal:
1. meninggalkan kemuliaan dunia
2. meninggalkan takabbur
3. suka berbual ibadat
4. suka beramal kebajikan
5. benci kepada amal kejahatan
6. kasih dan beradab kepada 'alim ulama'
7. membalas jasa bakti orang lain kepadanya
8. bersegera membayar hutang
9. meninggalkan marah
10. pemurah bersedekah dan manis mulut serta wajah
11. mengasihi kaum kerabat
12. tiada mahu menjamah makanan daripada sumber haram
13. mahu terkena (tiada mengapa jika tertipu) tetapi tidak mahu mengena
14. benci kepada orang yang bermegah dan sombong
Manakala manusia yang tidak berakal sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW iaitu:
1. yang melebihkan dunia daripada akhirat
2. melebihkan harta daripada amal dan menuntut ilmu
3. mengumpulkan banyak harta tetapi kurang beramal
4. tiada mengetahui baik dan jahat
5. tiada mengetahui awal dan akhir
6. tiada mengenal zahir dan batin
7. tiada mengingati hidup akan mati
8. hanya ingat harta, makan minum dan jimak
Oleh yang demikian hindarkan diri kita daripada sifat-sifat manusia yang tidak berakal. Dunia yang kita lalui hanyalah sementara paling lama kita mungkin diberi umur hanya 100 tahun. Paling lama kita boleh mengumpul harta hanya 30 tahun. Sihat kita mungkin 20 tahun. Muda kita 40 tahun. Umur tua 60 ke 80 tahun. Namun berakalkah kita seandainya keseluruhan 30 tahun mengumpul harta yang sentiasa susut tidak kita jadikan harta tersebut sebagai bekal kita di akhirat negeri abadi tanpa henti. Berakalkah kita seandainya 20 tahun kesihatan tubuh anugerah Allah diabaikan tanpa ruku' dan sujud kepada Maha Pencipta. Kita mungkin sihat pada umur 60 tahun namun masih bertenagakah? Kita mungkin kaya raya pada umur 70 tahun namun masih sihatkah? Persoalan yang mungkin jawapannya benar tetapi mungkin juga tidak.
Hakikat penciptaan manusia daripada setetes air mani yang hina terpancar dari tulang sulbi lelaki dan tulang dada wanita diperlengkapkan kejadian dengan roh pendengaran, penglihatan dan akal namun sedikit sekali manusia bersyukur.
Sedikit sekali manusia bersyukur menunjukkan manusia tidak berakal, hanya tubuhnya tubuh manusia tetapi akalnya seperti akal binatang atau lebih rendah tiada mengetahui bahawa hidup akan mati juga harta tiada dibawa ke kubur ditanam sekali bersamanya.
Alangkah bodoh dan jahilnya manusia! Diberi akal tidak difikirkannya. Diberi mata tidak dilihatnya. Diberi telinga tidak didengarnya. Diberi hati tidak diintainya. Diberi tubuh dihancurkannya. Diberi segala tiada dimengertikannya.
Fikirkanlah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment